Saturday, 17 October 2015

Hijrah 3 Perkara

HIJRAH YANG DIKUTUK ORANG TETAPI DIBUAT NABI SAW
MUQADDIMAH
Hijrah merupakan sebuah usaha berpindah kepada situasi yang lebih baik, bukanlah semata-mata untuk mencari kesenangan mahu pun suasana relaks, tetapi supaya kondisi lebih kondusif untuk meneruskan usaha pembinaan.
Sebaik sahaja tiba di Madinah (Yathrib), Nabi SAW melakukan usaha-usaha pembinaan masyarakat ke arah yang lebih stabil dan kukuh lagi beriman.


Usaha Nabi ini bersifat all-encompassing dan telah merubah Madinah pada segala sudutnya. Di sini, saya ingin memberikan perhatian kepada 3 perkara sahaja yang diubah Nabi SAW setelah Hijrah.
Kenapa 3 perkara ini?
Kerana ia sering diambil ringan dan jarang-jarang ditekankan sebagai perubahan yang bersifat Islami.
1. KEBERSIHAN
Madinah sebelum kedatangan Nabi merupakan sebuah kota yang kotor. (Tak pasti hendak dikatakan kotor seperti KL atau tidak).
Kata Saidatina Aisyah "Kami tiba ke Madinah dan ia merupakan sekotor-kotor bumi Allah. Airnya pula paling busuk".
Ramai sahabat Nabi dari kalangan Muhajireen yang jatuh sakit apabila mereka berhijrah ke sana sehingga menyebabkan mereka tidak berapa suka dengan Madinah. Lalu Nabi SAW meminta mereka membersihkan Madinah dan membuang segala kekotorannya. Mereka juga telah membina 50 telaga baru di sekitar Madinah sehingga air bersih cukup untuk di-supply kepada semua penduduk Madinah.
Lalu adakah yang berani mengatakan bahawa perjuangan membaiki kebersihan bukan keutamaan Nabi SAW seawal Hijrah?
Membersihlah rakyat Malaysia!
2. KESELAMATAN
Madinah sebelum kedatangan Nabi merupakan sebuah kota yang penuh marabahaya. Pergaduhan antara kaum/puak amatlah sengit dan kewujudan kelompok-kelompok gengster yang turut dibiayai Yahudi pada waktu itu mewujudkan suasana tidak selamat kepada penduduknya. Peperangan Bu'ath antara Aus dan Khazraj yang baru berakhir pula meninggalkan memori buruk dalam pemikiran dan sensitiviti Madinah, mungkin tidak jauh beza dengan memori buruk 13 Mei di Malaysia.
Kehadiran Nabi SAW telah membawa budaya baru ke Madinah sehingga akhirnya Madinah diriwayatkan menjadi bandar terselamat di dunia. Amat sedikit berlaku kes mencuri, merogol dan berpesta arak dan jika ada diurus dengan baik dan segera.
Terdapat banyak lagi punca munculnya suasana aman dan selamat di Madinah, antaranya tidak lain, adalah pembinaan hubungan silang kaum, silang puak dan pihak sehingga konflik dapat diminimakan.
Lalu apakah persoalan keselamatan tidak wajar diinsafi sempena Hijrah kali ini? Malaysia hari ini bukanlah negara paling selamat di dunia. Sehingga bilakah kita perlu gadaikan masa depan anak-anak dan isteri kita?
Carilah jalan untuk meningkatkan keselamatan negara kita ini dan berdoalah!
3. PEMBASMIAN KEMISKINAN
Madinah berhadapan dengan realiti di mana kekayaan tertumpu kepada sesetengah pihak dan wujud inequality yang melebar. Yahudi menguasai pasar, sistem riba berleluasa dan budaya menipu di dalam perniagaan juga rampant. Ketibaan Muhajireen yang bersifat pelarian (refugee), miskin dan sehelai sepinggang menerukkan lagi situasi inequality di Madinah ini.
Di dalam mana-mana masyarakat, persoalan pengagihan harta (distribution of wealth) merupakan antara faktor besar kepada kestabilan masyarakat tersebut. Hal ini, pastilah mendapat perhatian Nabi SAW, Sang Negarawan Ulung!
Lalu baginda SAW melakukan banyak usaha untuk merubah keadaan ini. Baginda menghidupkan budaya "social capital" melalui sistem "al-Muakhah". Walau pun demikian, Muhajireen tidak mengambil kesempatan di atas hubungan ini tetapi berusaha membina ekonomi sendiri melalui perniagaan sehingga Abu Hurairah pernah merumuskan keadaan Muhajireen sebagai "sibuk bebenor di pasar" sementara Ansar pula "menguruskan ladang dan kebun mereka".
Dua surah besar yang dikenali sebagai Az-Zahrawaan (Al-Baqarah dan Ali Imran) yang mendasari perubahan sosio-ekonomi Madinah, mengukuhkan lagi hakikat ini dengan seruan "infaq fi sabilillah" (lihatlah hampir semua bab-bab di dalam kedua-dua surah ini menyarankan infaq) dalam bentuk sedeqah dan zakat.
Pembentukan masyarakat memberi atau "giving society" ini telah merubah inequality Madinah termasuk Muhajireen (golongan refugees) dan akhirnya realiti baru ini dikunci-matikan dengan pengharaman riba yang merupakan punca utama berlakunya eksploitasi dan "concentration of wealth". Selain itu, budaya interest-free loan "qardhul hasan" dihidupkan sebagai salah satu option baru yang lebih adil dan mengukuhkan kestabilan hidup bermasyarakat.
Kesemua ini merupakan antara punca kepada mengapa, di dalam waktu yang singkat, tiada lagi orang miskin di Madinah dan semua penduduk memiliki kecukupan sehingga Nabi SAW sering memberikan hadiah yang baik-baik kepada tetamu-tetamu luar yang mengunjungi Madinah.
Maka apakah urusan pembasmian kemiskinan ini tiada signifikasi-nya di dalam menghayati Hijrah Nabi SAW?
Malaysia yang berhadapan dengan realiti ekonomi yang menjerut majoriti rakyatnya hari ini, haruslah menjadikan peristiwa Hijrah sebagai sumber inspirasi di dalam melakukan perubahan besar sebegini.
Berkerjasama dan bertakaful-lah!
Baca lbh lanjut di
https://www.facebook.com/harithwardiah/posts/10204931835435985

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...